Minuman Berkarbonat Jejaskan Kesihatan

Minuman berkarbonat memang popular dalam kalangan masyarakat. Tidak kira musim, minuman menjadi hidangan terutamanya apabila berkunjung ke premis makanan segera. Datang dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat menjadi hidangan apatah lagi pada musim perayaan.

Biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama banyak gula.

Selalunya soal kesihatan dan aspek pemakanan sering dipinggirkan seketika pada musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu tanpa rasa bersalah.

Tarikan iklan yang menceritakan 'keasyikan' menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan.

Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah.

Sedar atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti.

Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.

Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.

Obesiti membimbangkan

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.

Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.

Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini.

Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.

"Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula.

Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.

"Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan.

"Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain," katanya.

Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan 'mencairkan' kepekatan minuman berkarbonat.

Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.

Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.

Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai. Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.

Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah 'bahan perangsang' yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.

Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.

Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan.

Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.

Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat.

Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong.

Tenggorok Cedera Boleh Diselamat

Trauma peti suara boleh berlaku disebabkan kemalangan, kecederaan, di leher dan terhidu asap.

Pernahkah anda tersedak ketika minum atau makan? Biasanya kejadian itu sering dikaitkan dengan ada orang terutama saudara mara dan kenalan menyebut nama anda.

Sebenarnya, tersedak ketika minum atau makan adalah tindak balas spontan tenggorok atau peti suara (larynx) pada bahan asing yang terpercik di atasnya. Ia adalah tindak balas automatik tenggorok kepada benda asing berkenaan.

Tindak balas automatik ini menyebabkan tenggorok jarang mengalami trauma. Apatah lagi secara anatominya, tenggorok dilindungi struktur tubuh yang mantap. Di bahagian belakang, ia dilindungi kolum vertebra (struktur yang menyokong kepala dan tulang belakang), manakala di hadapan pula dilindungi rahang dan tulang dada.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Abdul Razak Rahman Hamzah, berkata trauma pada tenggorok selalunya dikaitkan dengan kecederaan pada muka dan dada. Walaupun jarang berlaku, mangsa kecederaan tenggorok boleh diselamatkan dan kecederaan yang minor mampu dipulihkan.

Umumnya trauma pada tenggorok jarang dilaporkan. Punca trauma paling biasa ialah terhidu asap yang banyak (misalnya terperangkap dalam kebakaran) sehingga berlaku radang. Ia menyebabkan seseorang sesak nafas dan boleh membawa maut.

Dr Abdul Razak berkata, trauma pada tenggorok juga boleb berlaku disebabkan faktor lain seperti kemalangan jalan raya atau industri, kecederaan sukan seperti terkena pukulan bola golf atau bola sepak (blunt trauma), leher tercedera kerana tersangkut pada ampai kain, leher cedera ditikam dengan alat tajam (penetrating trauma), tersedut asap terlalu banyak (inhalation trauma) atau terminum bahan kaustik (ingestion trauma).

"Walaupun kurang kerap dilaporkan, bagi mereka yang terselamat daripada trauma membabitkan kecederaan yang teruk, ia sukar dirawat dan mangsa mungkin akan menderita seumur hidup. Misalnya mereka yang terselamat daripada cubaan membunuh diri dengan meminum racun rumpai," katanya.

Dalam kes kecederaan yang teruk, jelasnya, saluran pernafasan dan pemakanan boleh menjadi sempit dan pembedahan mungkin tidak boleh membaik pulih sepenuhnya fungsi tenggorok dan saluran pemakanan pesakit.

"Umumnya kecederaan pada tenggorok akan menyebabkan masalah laluan pernafasan yang sangat serius. Malah, ia akan menjejaskan suara jika tidak didiagnos sebaiknya. Oleh itu, matlamat utama dalam rawatan awal kes sebegini ialah membantu pesakit bernafas.

Jika laluan pernafasannya terjejas, pesakit akan dibantu bernafas dengan laluan trakea," katanya. Selepas memastikan pesakit boleh bernafas, barulah fungsi vokalnya diperhatikan. Selalunya suara pesakit akan terjejas jika mengalami kecederaan serius.

Dr Abdul Razak berkata, berbanding golongan dewasa, kes kanak-kanak trauma pada peti suara tidak kerap berlaku kerana tenggoroknya berada di bahagian atas dan dilindungi rahang.

"Bagi orang dewasa, tenggorok sudah turun ke bawah. Justeru, orang dewasa lebih mudah mendapat kecederaan tenggorok. Misalnya, terhentak ke stereng kereta ketika memandu," katanya.

Katanya, kecederaan tidak serius mungkin hanya menyebabkan lebam, manakala jika serius menyebabkan tenggorok teralih atau retak.

Dr Abdul Razak berkata, simptom kecederaan peti suara selalunya terlepas pandang. Ia kerana simptomnya kadang kala hampir sama dengan simptom sakit tekak misalnya suara serak, suara hilang, sukar menelan, sesak nafas, terasa sakit pada tenggorok dan batuk berdarah.

"Suara serak dan hilang selalunya berpunca daripada radang pada tengkorok. Ia ditambah pula dengan kurang minum air. Bagi penyanyi, tersalah nada suara atau terlalu banyak menjerit akan menyebabkan tekanan pada tenggorok sehingga jadi serak," katanya.

Kecederaan yang tidak teruk boleh dipulihkan dengan merehatkan suara, kurang bercakap, minum air dan mengambil antibiotik. Rawatan kecederaan pada tenggorok adalah berdasarkan tahap kecederaan yang dialami pesakit. Perkara paling asas adalah memastikan ada laluan pernafasan. Jika salur nafasnya tertutup petugas perubatan menggunakan laluan trakea. Jika memerlukan pembedahan segera, pesakit akan dipantau 24 jam.

Selalunya,jika pesakit terselamat daripada kecederaan tenggorok yang teruk, dia sukar dipulihkan sepenuhnya. Diagnosa kecederaan pada peringkat awal penting untuk memastikan tahap kecederaan dan membaik pulih fungsi tenggorok ke tahap optima.

Untuk kecederaan yang kekal, laporan menunjukkan pemindahan tenggorok boleh dilakukan dengan jayanya melalui kes pertama pada 1998 di Amerika Syarikat. oleh Hafizah Iszahanid, Berita Harian

Info Kecederaan Tenggorok

Info Kecederaan Tenggorok

  • Trauma pada tenggorok jarang dilaporkan kerana mangsa biasanya meninggal dunia di tempat kejadian (contohnya mangsa kebakaran).
  • Pemindahan tenggorok yang pertama dilakukan pada 1998 membabitkan mangsa kemalangan jalanraya yang mengalami kecederaan teruk di leher. Dia menunggu selama 20 tahun sebelum dapat menjalani pemindahan itu.
  • Trauma yang serius menyukarkan rawatan. Rawatan awal penting untuk membaikpulih fungsi tenggorok.
  • Kecederaan yang kecil boleh dipulihkan dengan merehatkan suara, kurang bercakap dan meminum banyak air.