Kurang Tidur Boleh Tambah Berat Badan

Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat cuba mencabar tanggapan yang menyatakan tidur yang kurang menyebabkan individu mudah kurus apabila mendakwa amalan itu sebaliknya boleh menambah berat badan seseorang.

Sejak bertahun lamanya, pakar berat badan menekankan kepentingan mengambil makanan berkalori rendah dan senaman yang secukupnya.

Namun, kajian terbaru Universiti Chicago menunjukkan faktor ketiga bagi mengawal berat badan - mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam.

Malah, dua kajian yang disiarkan semalam mendapati, sukarelawan yang terbabit dalam penyelidikan dengan tidak mendapat tidur mencukupi, mempunyai sejenis hormon yang kadarnya tinggi dan mencetuskan rasa lapar.

Mereka juga dikesan mempunyai sejenis hormon pada paras rendah yang menyebabkan seseorang itu berasa kenyang.

"Sehubungan itu, kami mengesyorkan mana-mana program pengurangan berat badan turut memasukkan faktor mendapat tidur yang secukupnya sebagai salah tips berguna," kata pakar tidur universiti berkenaan, Dr Esra Tasali, yang turut terbabit menghasilkan kajian itu.

Satu kajian membabitkan 18,000 dewasa yang dikeluarkan bulan lalu oleh Pertubuhan Kajian Obesiti Amerika Utara mendapati, mereka yang menikmati tidur kurang empat jam semalam, adalah 73 peratus lebih mudah untuk obese atau gemuk berbanding mereka yang tidur tujuh hingga sembilan jam lamanya.

Kajian terbaru yang dikeluarkan semalam turut menemui hasil hampir sama apabila membabitkan penyelidikan ke atas 1,024 sukarelawan.

Daripada jumlah, 14.9 peratus responden yang tidur hanya lima jam mencatatkan hormon ghrelin yang meningkatkan selera makan.

Mereka yang kurang tidur turut mencatat penurunan hormon leptin yang menyebabkan seseorang itu berasa kenyang.

Dalam kajian itu, penyelidik mendapati tahap optimum tidur bagi tujuan mengawal berat badan adalah purata 7.7 jam.

"Tindakan mengurangkan waktu tidur hanya membuatkan selera makan meningkat dan makan berlebihan."

0 comments: