Presbiakusis Warga Emas, Masalah Kurang Dengar Warga Emas

Warga emas.Antara kesukaran yang lazim ditemui dalam kalangan warga emas ialah masalah kurang dengar (presbiakusis). Elemen yang sering dikaitkan dengan kemerosotan fungsi pendengaran ini berpunca daripada komponen saraf pendengaran (vestibulokoklea) yang mengalami degenerasi berbanding dengan golongan muda yang lebih banyak berpunca daripada masalah struktur.

Masalah pendengaran ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mesti berlaku kepada semua orang dan pada tahap yang sama. Ini kerana setiap manusia mempunyai gaya hidup, pekerjaan, taraf penjagaan kesihatan, tempat kediaman dan persekitaran yang berbeza-beza. Kesemua faktor latar belakang ini boleh mempengaruhi tahap kemerosotan pendengaran pada usia emas.

Presbiakusis

Presbiakusis ialah kemerosotan deria pendengaran yang paling kerap dikaitkan dengan proses penuaan. Statistik yang diterbitkan pada tahun 2006 menunjukkan 21.1 peratus daripada warga emas di Malaysia menghadapi masalah berkaitan pendengaran. Sebenarnya, masalah ini lebih kepada proses penuaan dalam fisiologi badan. Ia biasanya terjadi pada lingkungan usia 65 tahun dan boleh terjadi lebih awal.

Faktor yang mempengaruhi tahap kemerosotan jenis sensorineural ini termasuklah keturunan, pendedahan kepada bunyi bising yang terlampau dan berpanjangan atau masalah penyakit sistemik yang lain seperti diabetes mellitus, hipertensi, hipotiroid dan sebagainya.

Struktur dalaman telinga manusia.Struktur dalaman telinga manusia.

Gejala

Antara gejala seseorang itu mengalami presbiakusis ialah kesukaran untuk mendengar terutama di persekitaran yang bising walaupun ada ketikanya jelas dalam keadaan senyap. Mereka mungkin menyatakan keupayaan untuk mendengar, tetapi tidak memahami apa-apa yang diucapkan.

Fenomena pengumpulan rangsangan bunyi atau "recruitment" juga sering terjadi, mereka akan secara tiba-tiba mendengar suara yang kuat apabila nada ditingkatkan secara perlahan-lahan. Tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang datang mendapatkan rawatan hanya kerana mendengar bunyi yang bising atau “tinnitus” di dalam telinga atau kepala.

Rawatan
  • Penjagaan Kesihatan Umum
Adalah penting untuk memastikan keadaan kesihatan umum pesakit berada dalam keadaan optimum, contohnya pengawalan tahap glukosa dalam darah yang baik, pengambilan terapi harmon tiroid mengikut dos dan yang pentingnya sentiasa mengikut jadual janji temu seperti yang ditetapkan. Ini kerana saraf vestibulokoklea adalah seperti saraf-saraf yang lain, terdedah kepada komplikasi yang melibatkan saraf, hasil daripada masalah kesihatan sistemik yang tidak dikawal seperti diabetes mellitus, hipotiroid, penyakit auto imun, jangkitan kuman dan sebagainya.

Sesetengah pesakit juga dibekalkan dengan vitamin (Metilkobalamin) yang membantu melambatkan proses degenerasi saraf ini. Namun, yang lebih penting alah kesedaran pesakit itu sendiri tentang situasi yang dialaminya dan apakah keperluan dan harapan yang ingin dicapai selepas rawatan.
  • Pemeriksaan Telinga dan Pendengaran
Sebelum pergi mencuba apa-apa jua kaedah rawatan yang disyorkan, lebih baik mendapatkan pandangan doktor pakar telinga atau pakar pendengaran (audiologi) untuk menjalani pemeriksaan telinga dan pengukuran tahap pendengaran. Ini kerana tidak semua pesakit sesuai untuk rawatan yang sama.
  • Alat Bantu Dengar
Kaedah yang didapati sesuai untuk membantu memperbaiki tahap pendengaran ialah dengan cara menggunakan alat bantu dengar. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa dengan memakai alat ini, akan mendedahkan kekurangan diri mereka kepada masyarakat umum. Ini kerana jenis alat pendengaran yang mereka ketahui biasanya jenis yang lama dan tidak begitu mesra pengguna.

Dewasa ini sejajar dengan peningkatan teknologi, terdapat pelbagai bentuk dan jenis alat bantu dengar ini yang boleh didapati di pasaran. Antara jenis yang sering dipakai ialah alat di belakang telinga, di dalam telinga, di dalam saluran telinga dan di dalam saluran telinga sepenuhnya.

Masalah pendengaran dalam kalangan warga emas merupakan perkara yang bukan jarang-jarang berlaku. Biasanya, ia diakibatkan kemerosotan fungsi saraf pendengaran selari dengan perubahan fisiologi badan dalam proses penuaan. Pemeriksaan doktor amatlah perlu untuk memastikan tiada masalah lain yang menjadi punca kurangnya pendengaran ini.

Alat bantu dengar, yang terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk merupakan salah satu kaedah rawatan yang paling sesuai untuk membantu galongan warga emas untuk menikmati pendengaran yang lebih baik..

Dr. Irfan Mohamad
Pegawai Perubatan Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher,
Hospital Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan.

2 comments:

Anonymous said...

mohon share.

Ahmad said...

Dr Walter Pearpaoli
(Pengkaji MELATONIN / Kelanjar Pineal Yang Terkenal)

Melatonin, adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pineal dan bertanggungjawab mingimbangkan kitaran sedar atau tidur. Kanak-kanak menghasilkan lebih banyak melatonin berbanding orang dewasa atau orang tua, tetapi pengeluaran mula menurun seawal usia baligh (1-12 tahun) dan apabila mencapai usia 60 tahun, tahap melatonin sudah pun jatuh ke tahap 50% daripada tahap puncak dewasa.

Melatonin juga meningkatkan pengeluaran glutation peroksidase – sejenis anti-oksida yang menyumbang kepada manfaat anti-penuaan yang penting, seperti meningkatkan kemudaan dan memberi tenaga baru. Eksperimen penyelidikan dengan binatang makmal juga menunjukkan bahawa melatonin boleh meningkatkan kemudaan dan membantu meningkatkan jangka hayat selain daripada memberikan pelbagai kebaikan lain.

“jasad pineal mengawal proses penuaan dengan MELATONIN sebagai egennya…”

‘MELATONIN juga didapati meningkatkan imuniti dan memanjangkan tempoh hayat rodensia.”

Dr W.pearpaoli, 1987

(pengkaji MELATONIN / kelanjar pineal yang terkenal)

Tentang Penemuan “Jam Usia” badan

https://the7green.com/